Pada setiap petang Jumaat, selepas solat
Jumaat, selepas melayani para jamaah di Masjid, Imam dan putera
lelakinya yang berumur 11 tahun akan keluar ke bandar untuk mengedarkan
risalah bertajuk “Jalan Ke Syurga” dan juga menyampaikan ceramah agama.
Pada petang Jumaat itu, seperti biasa
Imam dan putera lelakinya akan keluar untuk mengedarkan risalah.
Bagaimanapun pada petang tersebut keadaan di luar rumah sangat sejuk dan
hujan pula turun dengan sangat lebat.
Budak itu memakai baju sejuk dan baju hujan dan berkata “OK ayah, saya sudah bersedia”. Ayahnya berkata “Bersedia untuk apa?”. Budak itu menjawab “Ayah, masa telah tiba untuk kita keluar mengedarkan buku-buku tentang Islam ini”. Ayahnya membalas “Anakku, di luar sana sangat sejuk dan hujan lebat pulak”.
Dengan muka yang kehairanan, budak itu bertanya ayahnya, “Tetapi ayah, adakah manusia tidak masuk neraka jika hari hujan?”
Ayahnya menjawab, “Anakku, Ayah tak akan keluar dengan cuaca begini..”. Dengan nada sedih, budak itu bertanya, “Ayah, boleh tak benarkan saya pergi?”. Ayahnya teragak-agak seketika, kemudian berkata, “Anakku, awak boleh pergi. Bawalah buku ini semua dan berhati-hati” .
Kemudian,
budak itu telah keluar dan meredah hujan. Budak sebelas tahun ini
berjalan dari pintu ke pintu dan lorong-lorong sekitar bandar. Dia
memberikan risalah dan buku kepada setiap orang yang ditemuinya.
Setelah dua jam berjalan dalam hujan,
akhirnya tinggal hanya satu naskhah padanya. Ketika itu dia telah basah
kuyup dan berasa sejuk hingga ke tulang. Budak itu berhenti di satu
penjuru jalan sambil mencari seseorang untuk diberikan buku tersebut.
Namun keadaan di situ lengang.
Kemudian dia berpatah balik ke rumah
pertama yang dia lalu di lorong itu. Dia berjalan di kaki lima menuju ke
rumah tersebut. Bila sampai di pintu hadapan, dia menekan suis loceng
namun tiada sesiapa yang membuka pintu. Dia tekan lagi dan lagi, tetapi
masih tiada jawapan. Dia tunggu lagi tetapi masih tiada jawapan.
Akhirnya dia berpaling untuk
meninggalkan rumah tersebut, tetapi seperti ada sesuatu yang
menghalangnya. Dia kembali ke pintu itu dan menekan lagi suis loceng dan
buat pertama kalinya mengetuk pintu dengan kuat. Dia tunggu, kemudian
seperti sesuatu di anjung rumah itu menghalangnya supaya jangan pergi.
Dia menekan suis loceng sekali lagi dan kali ini dengan perlahan pintu
dibuka.
Berdiri di hadapan pintu itu seorang perempuan tua yang berwajah kesedihan. Dengan perlahan perempuan tua itu bertanya, “Apa yang boleh saya bantu awak, wahai budak?”.
Dengan senyuman serta mata yang bersinar yang boleh menyinarkan bumi, budak itu berkata, “Makcik, saya mohon maaf kalau saya telah mengganggu makcik. Saya hanya ingin memberitahu bahawa Allah sangat sayang dan sentiasa melindungi makcik.
Saya datang ini hendak memberikan sebuah buku yang terakhir ada pada
saya ini. Buku ini menerangkan semua tentang Tuhan, tujuan sebenar Tuhan
menjadikan kita dan bagaimana untuk mencapai kebahagiaan daripada-Nya” .
Kemudian, budak itu menyerahkan buku terakhir itu dan berpaling untuk balik. Sebelum berjalan balik, perempuan itu berkata, “Terima kasih ya anak dan semoga Tuhan memberkatimu” .
Selepas solat Jumaat pada minggu
berikutnya, Imam menyampaikan ceramah agama seperti biasa. Dia
menamatkan ceramahnya dengan bertanya, “ Ada sesiapa yang ingin bertanya soalan atau ingin berkata sesuatu?”.
Dengan perlahan, di barisan belakang di kalangan tempat duduk muslimat, suara seorang perempuan tua kedengaran di speaker, “Tiada
di kalangan jemaah yang berkumpul ini mengenali saya. Saya tidak pernah
hadir sebelum ini. Sebelum hari Jumaat yang lepas, saya belum lagi
memeluk agama Islam bahkan tidak terfikir langsung untuk memeluknya.
Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, meninggalkan
saya sebatang kara, saya benar-benar keseorangan di dunia ini.”
Pada petang Jumaat yang lepas, ketika
cuaca sejuk dan hujan lebat, saya telah bertekad untuk membunuh diri
kerana sudah putus harapan untuk hidup. Jadi saya mengambil seutas tali
dan sebuah kerusi lalu menaiki loteng di rumah saya. Saya ikat tali
tersebut dengan kuat pada kayu palang di bumbung rumah kemudian berdiri
di atas kerusi, hujung tali satu lagi saya ikat di sekeliling leher
saya. Sambil berdiri di atas kerusi, saya berasa benar-benar
keseorangan, patah hati. Saya hampir-hampir hendak melompat tiba-tiba
loceng pintu berbunyi di tingkat bawah dan saya tersentak. Saya berfikir
untuk menunggu sebentar, dan pasti orang itu akan pergi. Saya tunggu
dan tunggu, tetapi bunyi loceng semakin kuat dan bertubi-tubi. Kemudian
orang yang menekan suis loceng itu, mengetuk pintu pula dengan kuat.
Saya berfikir sendirian lagi “Siapalah di muka bumi ini yang boleh buat begini? Tiada siapa pernah tekan suis loceng itu atau nak berjumpa dengan saya”. Saya longgarkan tali ikatan di leher dan kemudian pergi ke pintu hadapan. Ketika itu bunyi loceng kuat dan semakin kuat.
Bila saya buka pintu dan lihat, sukar
untuk dipercayai oleh mata saya, di anjung rumah saya itu berdiri
seorang budak yang sangat comel yang bersinar wajahnya seperti malaikat,
tidak pernah saya jumpa sebelum ini di dalam hidup saya. Budak itu
tersenyum. Oh! Saya tidak dapat hendak gambarkan kepada anda semua.
Perkataan yang keluar daripada mulutnya menyebabkan hati saya yang telah
lama mati tiba-tiba hidup semula, seruan budak itu seperti suara bayi
yang sangat comel. “Makcik, saya datang hendak memberitahu bahawa Allah sangat menyayangi dan sentiasa melindungi makcik”. Kemudian dia memberikan kepada saya sebuah buku bertajuk “ Jalan Ke Syurga” yang saya sedang pegang ini.
Bila “malaikat kecil”
itu telah pulang meredah sejuk dan hujan, saya menutup pintu dan
membaca dengan perlahan setiap perkataan yang tertulis di dalam buku
tersebut. Kemudian saya naik semula ke loteng untuk mendapatkan semula
tali dan kerusi. Saya tak perlukannya lagi.
Oleh sebab di belakang buku ini ada
tertera alamat tempat ini, saya sendiri datang ke masjid ini ingin
mengucapkan syukur kepada Tuhan. Tuhan kepada budak kecil yang telah
datang tepat pada waktunya, yang dengan demikian telah terhindar jiwa
saya daripada keabadian di dalam neraka.
Ramai yang berada di dalam masjid ketika itu menitiskan air mata. Mereka melaungkan TAKBIR…ALLAH HU AKBAR…gemaan takbir bergema di udara. Imam iaitu ayah kepada budak itu turun dari mimbar pergi ke barisan hadapan di mana “malaikat kecil” itu sedang duduk.
Dia mendakap puteranya dengan air mata
keluar tanpa disedarinya. Mungkin tidak ada jemaah yang memiliki saat
yang lebih mulia ini dan mungkin di alam semesta ini belum pernah
melihat seorang ayah yang penuh kasih sayang dan penghormatan terhadap
anaknya. Inilah satu peristiwa..
Berbahagialah anda kerana membaca kisah
ini. Jangan biarkan kisah ini di sini sahaja. Bacalah lagi dan sampaikan
kepada yang lain. Syurga adalah untuk umat-Nya. Ingatlah, dengan
menyebarkan firman Allah boleh mengubah hidup seseorang yang hampir
dengan anda. Sila kongsi kisah menarik ini.
Sebarkanlah kalimah Allah, kalau kita bantu Allah, Allah akan membantu kita dalam semua perkara yang kita buat.
Maksud firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 3;
“…pada hari ini, orang-orang
kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu
(setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya), sebab itu
janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu
takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi
kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku
telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu, maka sesiapa yang
terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang
ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya),
kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
P/s: Aku copy paste dari blog wanwma.com
No comments:
Post a Comment